Wednesday, August 24, 2011

Jumpa Aku di Alam Barzakh..Aku Setia Menunggu 2


MA RABBUKA!MA IMAMMUKA!MA NABIYYUKA!MA QIBLATUKA!
Kid tersedar dengan pertanyaan tersebut. Sudah berapa tahun dia tidak mendengar bahasa yang di kemuka kepadanya itu. Yang dia tahu untuk menjawab jika soalannya hanya, 'WHAT'S YOUR NAME?', 'WHERE DO YOU LIVE?', 'YES', 'NO', 'THANK YOU', 'ALRIGHT'.

Kid membuka mata, malang buat dirinya kerana dia tidak melihat apa-apa melainkan suasana hitam.
"Argh.. Aku kat mana ni...? Aku dah buta ke...?!" Jerit Kid melontarkan persoalan demi persoalan sekuat-kuat hati."Zuuuussss... Pap!!!" Satu pukulan yang begitu menyakitkan hinggap ke tubuhnya. Sambil perkataan yang dia sendiri tidak pernah dengar kedengaran semula.
MA RABBUKA!
MA IMAMMUKA!
MA NABIYYUKA!
MA QIBLATUKA!
"Woi, apa nih main pukul-pukul sesuka hati! Sakitlah!" Kid terjerit kerana begitu marah dengan pukulan tersebut. Badannya terasa panas dan pedih akibat daripada pukulan yang terlalu menyakitkan itu. Walaupun berada di dalam keadaan gelap gelita, dia cuba untuk bangun daripada terus terbaring di atas tanah itu.
Tetapi, apakan daya dia kerana dia merasakan keadaan tempat pembaringannya begitu sempit hinggakan kepalanya tidak dapat diangkat. Manakan tidak, tangannya juga tidak mampu mengampu badannya naik daripada keadaan berbaring.
Tiba-tiba badannya terasa bahang yang panas. Semakin lama bahang tersebut semakin kuat terasa sehingga mengakibatkan seluruh badannya bertukar menjadi kemerah-merahan seperti daging yang sedang dipanggang akibat panas yang teramat sangat.
Dia menjerit sekuat-kuat hati. "Panasnya! Tolong aku! Keluarkan aku dari sini! Tolong!!"
Beberapa minit kemudian barulah rasa bahang itu semakin berkurangan. Seluruh badannya kini kelihatan seperti melecur akibat kesan daripada 'dipanggang' tadi. 
Dia menangis namun dia berasa lega kerana bahang tersebut sudah tidak dirasakan lagi. Walaupun begitu, dia tidak tahu bahawa ada lagi seksaan yang bakal dirasakan.
Sedang dia mencungap-cungap bernafas dia merasakan seperti kehadiran air di tempat pembaringannya itu. Air itu kemudiannya semakin naik parasnya hingga menenggelamkan seluruh badannya kecuali bahagian mukanya yang berjaya diangkat sedikit.
"Tolong! Hoi apa ni? Siapa yang nak bunuh aku ni?! Argh!" Kid menjerit lagi. Kulitnya terasa amat sakit kerana kesan melecur tersebut terkena air. Dia juga khuatir akan mati lemas kerana paras air semakin meningkat dan terus meningkat.
Akhirnya air tersebut berjaya meneggelamkan seluruh tubuhnya termasuk hidungnya dan mukanya. Dia tidak lagi bisa bernafas. Dia cuba untuk bangun lagi tetapi tidak berjaya. Akhirnya dia menjadi lemah. Beberapa minit kemudian, air tersebut surut serta merta. Dia tersedak-sedak. Begitu banyak air keluar daripada seluruh rongga tubuhnya. Dia keletihan. Seluruh badannya terasa lenguh dan pedih. 
Tiba-tiba datang cahaya terang yang amat menyilaukan. Satu lembaga berjubah putih, beserban tebal melingkupi kepala menghampiri dirinya yang terbaring. Dia menjerit riang kerana dia sedar bahawa dia belum buta. Dia cuba untuk mengenal pasti lembaga tersebut.
Alangkah terkejutnya Kid kerana lembaga tersebut adalah lelaki tua yang dia hampir-hampir melanggar semasa perjalanannya ke kedai Mak Mah.
Lelaki tua itu jugalah yang dia tolak sehingga rebah dan hampir terhantuk batu di bahu jalan kerana mengajak dia serta kawan-kawannya ke surau bersolat jemaah.
"Hoi, kau lagi! Tak habis-habis ganggu aku. Kau tak ada kerja lain ke selain dari mengganggu aku?" Jerit Kid kepada lelaki tua tersebut. Lelaki tua tersebut hanya melemparkan senyuman yang manis kepadanya.
Kid kehairanan. Dia terfikir juga untuk bertanya dimanakah dia berada sekarang.
"Eh, orang tua! Kau tahu tak aku ada kat mana sekarang ni?" Kid bertanya dengan nada angkuh.
"Kau sekarang berada di alam kubur wahai anak muda. Kau masih ingat bahawa kau pernah berkata kepadaku bahawa kubur kita adalah masing-masing?" Lelaki tua tersebut menjawab serta bertanya kepada Kid.
"Ah.... Aku tak percaya! Kalau kau cakap ini adalah kubur aku, kenapa kau berada dalam kubur bersama aku hah?" Kid marah mendengar kata-kata orang tua itu seolah-olah ingin mempermainkannya.
Lelaki tua tersebut kemudian berkata, "walaupun kubur kita berasingan, tetapi kau telah membawa aku ke sini kerana tanggungjawabku membawa kau ke jalan yang diredhai Pencipta kita, iaitu Allah. Walaupun kau bukan siapa-siapa dengan diriku, tetapi kau adalah sebahagian daripada diri aku. Sebab itulah aku mengajak kau ke surau untuk berjemaah menunaikan rukun yang telah wajib kepada kita sebagai seorang yang beragama Islam."
Kid terdiam. Bingung dengan huraian yang di buat oleh lelaki tua tersebut. Semakin lama semakin bingung kepala otaknya memikir maksud dari kata-kata lelaki tua itu. Marahnya semakin memuncak. Kepalanya serabut dengan kata-kata orang tua yang dirasakan langsung tidak masuk akal itu.
"Kau dah rasa pukulan yang hinggap di tubuh kau sebentar tadi? Macam mana rasanya? Sedap?" lelaki tua itu berseloroh.
"Celaka kau orang tua, rupanya kau yang memukul aku!" Bentak Kid.
"Bukan aku yang memukul kau orang muda. Pukulan itu dari Malaikat Nakir yang telah menyoal kau dengan bahasa yang kau tidak faham tadi. Dialah yang akan menjaga, menyoal dan menyiksa kau sehingga tibanya hari akhirat bersama Malaikat Mungkar. Satu soalan mereka kau tidak jawab dengan betul, satu pukulanlah kau akan terima. Satu perkara yang Allah larang di dunia tetapi kau masih melakukannya, satu pukulan juga kau akan terima, malahan lebih dahsyat lagi, satu pukulan itu boleh membenamkan kau ke lapisan ke tujuh bumi ini," begitu panjang penerangan yang dibuat oleh lelaki tua itu.
Kid mula berasa takut dengan penerangan lelaki tua itu dan hanya mampu mengetap gigi dan menelan air liur. Rasa marahnya tadi kini berganti dengan rasa takut
"Bayangkan berapa banyak perkara yang kau telah lakukan semasa kau di dunia? Berapa banyakkah kau meninggalkan suruhan Allah yang menciptakan kau anak muda? Kau tahu kenapa ke sini?" Kid di hujani pelbagai soalan oleh lelaki tua itu.
"Kenapa?" Kid bertanya.
"Kau ke sini kerana kemalangan jalan raya pada malam kau hampir melanggar aku dan petangnya kau menolak aku kerana aku mengganggu kau sedang bersuka dengan kawan-kawan kau dan juga kerana kau lari dari Mak Mah yang mengamuk akibat kau mencium anaknya Linda! Kau tahu berapa banyak salah kau pada tempoh hari?" Tanya lelaki tua itu dengan nada yang agak tinggi.
Kid kelihatan seperti merasa kesalahannya kerana takut dipukul akibat kesalahan yang dia telah lakukan semasa dia hidup. Dia hanya menganggukkan kepala sebagai tanda ingin mengetahui apa yang dia telah lakukan.
"Kenapa kau diam orang muda? Mana suara kau yang kuat semasa menjerit marah kepadaku? Kau takut ya sekarang?" lelaki tua itu bertanya lagi dan tersenyum.
"Kau cuba bayangkan, dalam masa sehari kau telah melakukan pelbagai perkara mungkar dan meninggalkan perintah Allah yang wajib ditunaikan oleh setiap manusia yang beragama Islam. Pertama, kau tidak menghormati orang yang lebih tua dari kau. Malah, kau berkasar pula dengannya iaitu aku. Ketiga, kau bercakap dusta. Keempat, kau menjatuhkan maruah seorang wanita dengan mencabul hak dia. Itu semua termasuk dalam golongan dosa besar wahai anak muda. Mencabul seorang wanita banyak yang merosakkan maruah dia. Tahukah kau bahawa bersentuhan kulit seorang lelaki dan wanita yang halal nikah adalah termasuk dalam  kategori zina walaupun kedua-duanya suka sama suka. Rasulullah S.A.W pernah bersabda yang bermaksud :
"Dari Maqil bin Yasar r.a berkata : Seandainya kepala seseorang ditusuk jarum besi itu lebih baik daripada ia menyentuh wanita yang tidak halal baginya." (hadis hasan diriwayat oleh Tabrani dan mujam kabir)
"Hadis ini adalah bermaksud melarang sekeras-kerasnya seorang lelaki menyentuh seorang wanita yang tidak halal baginya. Itu adalah etika pergaulan kita sebagai seorang muslim dengan muslim yang lain. Apabila kita melanggar semuanya atau sebahagian sudah menjadi dosa zina baginya," terang lelaki tua itu dengan begitu mendalam sekali.
"Bersiap-sedialah kau sebentar lagi untuk diazabkan atas perbuatan kau selama ini," lelakit tua itu mengingatkan Kid lagi terhadap azab yang bakal dialaminya selepas ini.
" Pak cik, saya minta maaf kerana mengasari pak cik tempoh hari. Boleh tak saya kembali ke dunia untuk meminta maaf kepada semua orang yang telah saya kasari dan khianati?" Kid merayu dalam nada yang penuh ketakutan.
 Baru sekarang dia memanggil lelaki tua tersebut dengan panggilan dan nada yang sopan. Kid berasa begitu jahatnya dia semasa di dunia dan dia berasa begitu bersalah atas perbuatannya.
"Kau sudah terlambat orang muda. Masakan seorang manusia akan hidup kembali ke dunia untuk menebus segala dosa-dosa yang telah dilakukannya semasa hidup di dunia. Tak mungkin, hidup di bumi hanya sekali," ujar lagi lelaki tua itu.
"Tolonglah saya pak cik, saya masih muda. Saya ingin bertaubat nasuha dan mengikut kata pak cik dan ingin bersama pak cik. Pak cik tolonglah saya," rayu Kid kepada lelaki tua itu agar dibenarkan bertaubat..
"Baiklah, tetapi kau mesti mematuhi semua janji yang kau telah utarakan pada hari ini. Ingat, ini janji kau kepada Allah kerana kau berjanji untuk bertaubat nasuha.."
Bersambung.....

No comments: